Tuesday, June 1, 2010

RUKUN SOLAT

Rukun solat adalah perkara yang sebahagian daripada solat dan bergantung kepadanya sah solat itu. Solat secara amnya mempunyai tiga belas rukun yang terdiri daripada beberapa bahagian. Kategori itu ialah :
1) rukun qalbi
2) rukun fi'li
3) rukun qauli.

RUKUN SOLAT

1)Definasi Rukun Solat
Rukun solat adalah perkara yang sebahagian daripada solat dan bergantung kepadanya sah solat itu. Solat secara amnya mempunyai tiga belas rukun yang terdiri daripada beberapa bahagian. Kategori itu ialah :
* rukun qalbi
* rukun fi'li
* rukun qauli.

2)Kategori Rukun Solat
* Rukun qalbi (ﻗﻠﺒﻲ - iaitu berasal daripada perkataan ﻗﻠﺐ - qalb bermaksud hati) adalah rukun yang berasaskan kepada hati.
- Niat
* Rukun fi'li (ﻓﻌﻠﻲ - iaitu berasal daripada perkataan ﻓﻌﻞ - fi'l bermaksud perlakuan) adalah rukun yang berasaskan kepada perbuatan anggota badan. Pergerakan anggota badan atau tindakan tubuh itu memerihalkan rukun tersebut.
- Berdiri betul,Rukuk , Sujud ,I'tidal , Duduk antara dua sujud
* Rukun qauli (ﻗﻮﻟﻲ - iaitu berasal daripada perkataan ﻗﻮﻝ - qaul bermaksud kata-kata) dalah rukun yang berasaskan kepada sebutan dan bacaan.
- Takbiratul ihram , Bacaan tahiyat akhir , Duduk tahiyat Akhir , Membaca al-Fatihah , Selawat ke atas nabi dalam tahiyat akhir , Tertib

3) Bahagian Rukun Solat
* Niat
Niat dalam solat merupakan rukun qalbi tetapi turut termasuk dalam rukun fi'li (lihat Takbiratul ihram). Niat solat mempunyai tiga bahagian yang disyaratkan dalam solat fardhu tetapi hanya dua sahaja bagi solat sunat manakala untuk solat sunat mutlak (tiada sebab dan bila-bila masa), hanya satu daripadanya disyaratkan.
Bahagian niat mempunyai tiga bahagian iaitu:
1.Qasad (ﻗﺼﺪ) - Menyengajakan solat
2.Ta'ridh (ﺗﻌﺮﺽ) - Menyengajakan fardhu
3.Ta'yiin (ﺗﻌﻴﻴﻦ) - Menyengajakan waktu

* Berdiri betul
Berdiri betul atay berdiri tegak adalah diwajibkan dalam solat bagi mereka yang berupaya untuk beridir tegak. Bagi yang tidak upaya, rukhsah atau kelonggaran diberikan untuk mereka sama ada untuk solat dalam keadaan duduk (hanya jika tidak mampu berdiri), mengiring pada rusuk kanan sambil mengadap kiblat (hanya jika tidak mampu berdiri dan duduk), atau jika tidak mampu berdiri, duduk mahupun mengiring, orang yang ingin mengerjakan solat itu dibenarkan baring menelentang dengan kaki dan perut dihalakan ke kiblat.
Syarat bagi rukun ini hendaklah ditegakkan tulang belakangnya dan tidak boleh bongkok ke depan atau ke belakang (jika mampu).

* Takbiratul Ihram
Takbiratul ihram (ﺗﻜﺒﻴﺮﺓ ﺍﻹﺣﺮﺍﻡ) ialah perbuatan yang menyempadani solat dengan perlakuan di luar solat. Takbiratul ihram menandakan bermulanya satu perjalanan solat itu sehingga rukun terakhir iaitu salam nanti. Disebabkan dinamakan rukun ini takbir ialah kerana sebutan takbir iaitu Allahu Akbar (الله أكبر) adalah wajib bagi mereka yang boleh menuturkannya. Bagi mereka yang tidak boleh menuturkannya ataupun tidak dapat mempelajarinya, dia diharuskan untuk menyebutnya dengan terjemahan dalam bahasa yang lain. Rukun ini diwajibkan untuk disertai dengan niatnya dan disunatkan untuk mengangkat kedua-dua tangan hingga ke paras bahu. Muqaranah (ﻣﻘﺎﺭﻧﻪ) atau penyertaan niat takbiratul ihram mempunyai dua bahagian iaitu:
Muqaranah Urfiyyah ( ﻣﻘﺎﺭﻧﻪ ﻋﺭﻓﻴﻪ ) - Menyertai niat kepada sebahagian daripada takbiratul ihram iaitu berniat ketika mula ataupun akhir bahagian takbiratul ihram
Muqaranah Haqiqah ( ﻣﻘﺎﺭﻧﻪ ﺣﻘﻴﻘﺔ ) - Menyertai niat kepada keseluruhan takbiratul ihram iaitu berniat dari mula sehingga akhir takbiratul ihram

* Membaca Surah Al-Fatehah
Surah Al-Fatihah merupakan satu-satunya surah yang diwajibkan. Surah ini wajib dibaca pada setiap rakaat dan bacaannya hendaklah tertib mengikut susunan ayat yang betul dan hendaklah dijaga tajwidnya. Bacaan basmalah diwajibkan kerana ayat itu juga sebahagian daripada surah berbanding isti'azah yang tidak diwajibkan.

* Rukuk
Perbuatan rukuk adalah membongkok ke hadapan dengan sekurang-kurangnya hingga tapak tangannya mencapai ke lutut. Rukuk yang sempurna ialah menyamakan belakangnya dan tengkuknya pada satu garis lurus dan meluruskan kakinya (iaitu betis dan peha) dan memegang kedua lututnya dengan menjarangkan antara jari-jari tangan. Bagi mereka yang solat secara duduk, memadai rukuk itu dengan membongkok ke hadapan hingga dahinya selari dengan kepala lututnya. Untuk lebih sempurna bagi solat duduk, rukuknya adalah membongkok ke hadapan hingga dahinya selari dengan tempat sujud.

* I'tidal
I'tidal adalah kembali daripada keadaan rukuk kepada berdiri tegak iaitu keadaan asal ketika solat. Jika keadaan asalnya ialah duduk menegak, maka hendaklah orang itu kembali duduk menegak. Tama'ninah turut disertakan dalam perbuatan i'tidal. Maka, untuk melengkapkan i'tidal, hendaklah tama'ninah dengan menetapkan anggota badan pada keadaan sebelum rukuk dalam masa yang cukup untuk membezakan keadaan selepas bangun dari rukuk sebelum turun untuk sujud.

* Sujud
Sujud adalah satu perbuatan yang amat menunjukkan kerendahan diri manusia terutama di dalam solat. Setiap rakaat (atau satu rukuk) adalah diwajibkan dengan dua kali sujud.
Sujud adalah memadai dengan sekurang-kurangnya bersentuhan dahi dengan tempat solat. Lebih elok atau lengkap lagi, hendaklah ketujuh-tujuh anggota sujud kena atau bersentuhan dengan tempat solat iaitu dahi, dua tapak tangan (setiap muka tapak tangan dan jari-jarinya), dua lutut dan dua tapak kakinya (iaitu muka hujung jari-jari kakinya). Wajib menekan sedikit dahi di tempat sujud untuk lebih tetap keadannya. Keadaan yang sempurna untuk turun bersujud adalah dengan meletakkan kedua-dua lutut dahulu dan diikuti dengan tapak tangan lalu dahi ditetapkan di tempat sujud.
Adalah sunat untuk menghalakan kesemua jari ke arah kiblat Bagi lelaki, disunatkan juga meregangkan kedua lutut dan dua tapak kaki, menjarakkan perut daripada peha dan menjauhkan sedikit siku daripada rusuk. Bagi perempuan pula, sunat untuk merapatkan kedua-dua lutut dan kaki, merapatkan perut dengan peha dan siku ke rusuk.

* Duduk antara dua sujud
Duduk antara dua sujud adalah perlakuan yang memisahkan antara dua kali sujud. Tidak sesuai untuk terus berdiri sebelum sujud semula, maka keadaan duduk adalah logik. Adalah sunat untuk duduk iftirasy (iaitu duduk di atas tapak kaki kiri serta menegakkan (atau berdirikan) tapak kaki kanan. Sunat juga meletakkan dua tangan berhampiran lutut serta menjarakkan setiap jari tetapi tidak mengapa untuk meletakkan jari di atas lutut. Perlakuan duduk antara dua sujud ini menjadi makruh jika terlalu lama kerana ia memisahkan perlakuan kedua-dua sujud. Walau bagaimanapun, tama'ninah turut disertakan bagi rukun ini.

* Duduk tahiyat akhir
Duduk ketika membaca tahiyat akhir adalah jelas bahawa tahiyat akhir hendaklah dibaca ketika keadaan duduk, bukan berdiri. Disunatkan duduk secara tawaruk iaitu duduk dengan menghulurkan kaki kiri ke kanan dan merapatkan punggung ke lantai. Keadaan ini berterusan ketika membaca selawat dan salam.

* Membaca tahiyat akhir
Rukun ini dinamakan tahiyyat (penghormatan) atau tasyahud (penyaksian) kerana bacaan yang dilafazkan terdiri daripada keduanya. Berikut adalah bacaan bersama bahagian tahiyat. Bacaan tersebut hendaklah disambung dengan bacaan selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.

* Salam
salam adalah sebahagian daripada rukun solat. Sekurang-kurangnya, lafaz salam itu ialah assalamualaikum السلام عليكم"- "sejahtera kepada kamu semua") tetapi untuk lebih sempurna, ucapannya ialah assalamualaikum warahmatullah (السلام علبكم ورحمة الله - "sejahtera kepada kamu semua dan semoga dirahmati Tuhan"). Adalah disunatkan untuk memberi salam sebanyak dua kali dan sunat juga untuk menoleh ke kanan dahulu bagi salam yang pertama dan ke kiri bagi salam yang kedua. Turut disunatkan juga kedua-dua salam itu tidak disekalikan iaitu ada pengasingan antara kedua-duanya.

* Tertib
Tertib adalah rukun yang merangkumi keseluruhan rukun solat iaitu memastikan segala perlakuan rukun berada pada turutan yang betul satu demi satu dan yang dahulu didahului serta yang kemudian, dilakukan kemudian.